Harian Metro – 7 December 2007
SEMENYIH: Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan, bagi ternakan lembu dijangka dapat mengeluarkan hasilnya mulai tahun depan selepas projek berkenaan mula beroperasi, bulan depan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata dua syarikat swasta juga dilantik menjalankan projek ternakan lembu di NFC bagi mengatasi masalah kekurangan daging lembu selain dapat mengurangkan import bahan berkenaan.
Menurutnya, buat permulaan NFC akan digunakan sebagai pusat pembesaran lembu sebelum projek pembiakan baka lembu dilaksanakan dijangka tahun depan.
“Kita jangka dalam tempoh tiga hingga empat bulanm lembu ini akan dapat disembelih dan dipasarkan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Membantai Aidilfitri dan Jualan Mega 2007 di Pasar Rabu Beranang di sini, semalam.
Karnival Membantai ialah menyembelih haiwan ternakan menjelang Aidilfitri antara warisan unik masih diamalkan masyarakat Minangkabau di negara ini.
Adat itu amalan beberapa perkampungan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Mengikut adat itu, penduduk kampung akan menyembelih ternakan mereka secara bergotong-royong dan menjualnya kepada orang ramai.
Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Markiman Kobiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Datuk Ahmad Kuris Mohd Nor.