KONSORTIUM AKAN DITUBUHKAN SEBAGAI PEMBEKAL UTAMA LEMBU

Bernama Online – Monday – 18 February 2008

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) — Sebuah konsortium yang akan menjadi pembekal utama Program Fidlot Nasional bagi membawa masuk lembu dari negara sumber, akan ditubuhkan bagi memenuhi permintaan dan pengeluaran serta menjamin kestabilan harga.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu diambil berikutan harga daging lembu dunia semakin meningkat, dan tanpa ikatan dengan negara pembekal seperti Australia, tidak ada jaminan dari segi bekalan dan harga.

Beliau berkata langkah itu juga selaras dengan hasrat kerajaan yang mensasarkan pengeluaran daging lembu kepada 40 peratus menjelang 2015.

“Saya telah mencadangkan supaya konsortium berkenaan ditubuhkan untuk membawa masuk lembu dan dibekalkan ke semua ladang dalam negara secara berterusan.

“Contohnya Australia, saya telah menemui pengeluar dan pembekal daging terbesar di Australia, dan syarikat ini memang berminat untuk mewujudkan kerjasama jangka panjang dengan membekalkan lembu ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pembangunan Industri Pengeluaran Daging Lembu di Malaysia, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kementerian mencadangkan National Livestock Corporation Sdn Bhd mengetuai konsortium yang akan ditubuhkan dalam tempoh dua bulan.

Beliau bagaimanapun berkata dari segi keanggotaan atau ekuiti pemegang saham, ia akan melibatkan beberapa syarikat lain.

“Berapa banyak syarikat dalam konsortium belum diputuskan dan kita akan pastikan jumlahnya, tetapi mereka perlu ada modal yang besar untuk membawa masuk lembu.

“Ini kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya 200,000 hingga 300,000 ekor lembu dibawa masuk setahun untuk dibekalkan kepada industri tempatan,” katanya.

Dalam usaha mencapai sasaran negara, seramai 310 pengusaha fidlot telah dicadangkan supaya meningkatkan jumlah ternakan masing-masing dengan menambah keluasan tanah serta modal.

“Bank Pertanian sedia menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk meningkatkan perniagaan, terutama sektor ternakan.

“Kami harap dalam tempoh beberapa tahun akan datang, pengeluaran tempatan dapat ditingkatkan dan mencapai sasaran 40 peratus menjelang 2015. Kini (2007) jumlahnya kira-kira 23 peratus berbanding dua tahun lepas sebanyak 18 peratus, atau peningkatan sebanyak lima peratus,” katanya.

Muhyiddin berkata program penjenamaan daging lembu Malaysia juga akan dilaksanakan bagi memasarkan daging berkualiti, selamat dimakan dan dijual pada harga yang berpatutan.

“Matlamatnya ialah kami mahu membangunkan program penjenamaan daging lembu Malaysia. Ia bukan program pengeluaran sahaja tetapi program yang melibatkan seluruh rantaian bekalan sehingga daging boleh dipasarkan dan rakyat Malaysia mempromosikannya sebagai daging keluaran tempatan.

“Ini yang diharapkan berlaku dalam tempoh setahun dua,” katanya.