Berita Harian – 22 March 2007
PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengumumkan dua syarikat tempatan yang dilantik untuk menguruskan Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan yang dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya awal tahun depan.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata dua syarikat itu ialah Agro Science Industries Sdn Bhd dan Lambert Malaysia Sdn Bhd, masing-masing diberikan tanggungjawab menguruskan tanah seluas 2,000 hektar dan 200 hektar untuk ternakan lembu.
Katanya, pelantikan itu dicapai hasil mesyuarat kementerian dengan kerajaan Negeri Sembilan yang menawarkan tanah untuk diusahakan sebagai pusat penternakan lembu dan pengeluaran produk hiliran tenusu utama negara yang dijangka mampu menjana perolehan sehingga RM680 juta setahun.
“Agro Science Industries akan menjadi peneraju di kawasan seluas 600 hektar dan diharap menghasilkan 20,000 lembu pada satu pusingan pengeluaran, manakala Lambert pula akan menguruskan kawasan seluas 200 hektar,” katanya kepada pada sidang akhbar selepas mesyuarat pasca Kabinet di sini, semalam.
Muhyiddin berkata, ketika ini, kerja membersihkan tanah di kawasan berkenaan sedang giat dijalankan dan dua tiga bulan lagi ia akan diserahkan kepada syarikat yang dilantik untuk dibangunkan.
Katanya, NFC ialah antara projek berimpak tinggi yang diluluskan kerajaan sebagai langkah menambah bekalan daging dalam negara.
“Pembangunan infrastruktur NFC membabitkan 3 pakej dengan 600 hektar dibangunkan pada pakej pertama dan kedua dijangka siap pertengahan tahun depan, manakala pakej tiga di kawasan 1,200 hektar siap akhir tahun ini.
“Kita jangka dalam beberapa tahun akan datang, kawasan ini boleh menghasilkan tidak kurang 60,000 lembu setahun,” katanya.
Beliau berkata, NNFC akan dibangunkan sebagai pusat pengeluaran produk hiliran lain seperti pemprosesan dan penghasilan baja organik daripada najis lembu serta memproses daging.